Umum



Apakah Laman Web Rasmi Darjah dan Bintang Kebesaran Serta Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan?

Portal rasmi https://awards.selangor.gov.my/ ini merupakan gerbang utama paparan penerima serta sumber informasi anugerah Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan



Bilakah pencalonan akan mula dibuka?

Pencalonan lazimnya dibuka mulai bulan Jun sehingga bulan Ogos dalam tempoh dua bulan pada setiap tahun. Hebahan akan dibuat melalui Portal Rasmi Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan https://awards.selangor.gov.my/.Sila rujuk Hebahan di Portal untuk maklumat lanjut.



Siapa yang boleh membuat pencalonan?

Prosiding Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan adalah bersifat “pencalonan” dan pencalonan hanya boleh dibuat oleh Pencalon yang dilantik, iaitu Ketua-Ketua Perkhidmatan atau Ketua Setiausaha Kementerian (untuk semua kategori pencalonan)



Siapakah yang layak untuk memohon?

Kelayakan permohonan adalah seperti dinyatakan di dalam Garis Panduan dan Borang Permohonan.



Bilakah Tarikh Pengurniaan?

  • Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan DYMM yang disambut pada 11 Disember setiap tahun. Walau bagaimanapun, tarikh pengurniaan adalah tertakluk kepada perkenan DYMM Sultan Selangor. Sila rujuk Hebahan di portal untuk maklumat lanjut.
  • Penganugerahan Pingat Negeri Selangor akan diadakan secara berperingkat selepas Majlis Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor. Kebiasaannya, majlis akan diadakan pada pertengahan tahun setiap tahun, tertakluk kepada perkenan DYMM Sultan Selangor. Sila rujuk Hebahan di portal untuk maklumat lanjut



Bagaimanakah cara untuk menghubungi Urus Setia Unit Bintang SUK?

Urus setia Unit Bintang boleh dihubungi melalui maklumat perhubungan di halaman Hubungi Kami yang terdapat di portal.

Permohonan



Saya adalah seorang atlet dan hendak mengisi permohonan bagi kategori Sukan. Adakah saya perlu mengisi kesemua maklumat-maklumat lain di bahagian pekerjaan?

Ya. Pemohon perlu mengisi kesemua bahagian di dalam borang pencalonan. Hanya kosongkan ruangan yang tiada maklumat sahaja.



Bolehkah saya membuat permohonan baru sekiranya sekiranya saya pernah mendapat anugerah daripada pada tahun lepas?

Tidak boleh. Permohonan hanya boleh dibuat selepas 3 tahun kurniaan terdahulu. Sebagai contoh, sekiranya pernah dikurniakan anugerah pada tahun 2023, permohonan hanya boleh dibuat semula pada tahun 2027.



Sekiranya saya dilahirkan di luar negara dan bermastautin di Selangor, bolehkah saya membuat permohonan?

Boleh sekiranya memenuhi syarat-syarat di halaman Garis Panduan dan Borang Permohonan.



Saya ingin tahu apakah Tindakan pihak urus setia bagi memastikan calon yang dikemukakan bebas dari sebarang rekod jenayah?

Bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar layak dan bebas dari sebarang rekod jenayah, kesemua calon akan dibuat tapisan keselamatan dan dan keutuhan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Tawaran dan Penerimaan



Bolehkah saya mendapatkan senarai nama pemohon yang berjaya dan tidak berjaya sebelum istiadat berlangsung?

Senarai nama penerima yang berjaya diklasifikasikan sebagai RAHSIA mengikut peruntukan Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986 sehingga ia diisytiharkan pada hari Istiadat. Setelah istiadat dizahirkan, senarai penerima akan dipaparkan di Portal Rasmi Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor.

Raptai dan Istiadat Pengurniaan



Bolehkah saya membawa pasangan pada hari raptai?

Tidak boleh. Raptai dikhususkan untuk yang dikurniakan Sahaja (penerima) dan pasangan hanya boleh dibawa pada hari istiadat sebenar.



Sekiranya pasangan saya tidak dapat hadir, bolehkan saya membawa orang lain untuk menggantikannya?

Boleh, dengan syarat pengganti pasangan hendaklah berumur 18 tahun ke atas.

Lain-lain



Saya merupakan seorang kakitangan Kerajaan. Bolehkah saya membuat tuntutan pakaian istiadat?

Boleh. Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2007.



Sekiranya saya merupakan Pegawai Perkhidmatan Awam, bolehkah pasangan saya membuat tuntutan pakai istiadat?

Boleh. Tuntutan boleh dibuat di Jabatan masing-masing. Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2007