Senarai Penerima D.S.I.S.
Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan
DARJAH KEBESARAN DATO`-SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (D.S.I.S.)

Darjah Kelas Kedua


Darjah Kebesaran ini sama taraf dengan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor. Kelayakan penerima dikurniakan Darjah Kelas Kedua ini sama dengan mereka yang dikurniakan Darjah Kelas Pertama. Ianya dizahirkan pada tahun 2002. Bilangan kuota orang yang dikurniakan Ahli Darjah Kebesaran ini ialah tidak lebih daripada 20 orang pada satu-satu masa dan bilangan maksima keseluruhannya ialah 600 orang.

Ahli Lelaki yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Dato' " dan Ahli Wanita pula berhak menggunakan gelaran "Datin Paduka" pada pangkal nama mereka. Isteri penerima Ahli Lelaki berhak menggunakan gelaran "Datin" manakala suami kepada Ahli Wanita tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran.

Rekabentuk Darjah Kebesaran ini adalah sama seperti Darjah Kebesaran Kelas Pertama kecuali garis pusat Bintang Darjah Kebesaran berukuran 8 sm, manakala bahagian tengah Bintang mengandungi Lambang Diraja berlatarbelakangkan enamel berwarna hijau zamrud.

Lencana Darjah Kebesaran ini sama ukurannya seperti bentuk Lencana Darjah Kebesaran Kelas Pertama kecuali bahagian tengahnya berbentuk bujur berlatarbelakangkan enamel berwarna hijau zamrud.

Selepang Darjah Kebesaran ini sama bentuknya seperti Selepang Darjah Kebesaran Kelas Pertama kecuali ia diperbuat daripada kain sutera merah berukuran 11.7 sm lebar dan mengandungi jalur kuning berukuran 0.3 sm lebar di kiri kanan tepinya.