Senarai Penerima S.S.I.S.
Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan
DARJAH KEBESARAN DATO`SETIA-SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.)

Darjah Kelas Pertama


Darjah Kebesaran ini dizahirkan pada tahun 2002. Bilangan kuota bagi Ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama ini lazimnya 2 orang pada satu-satu  masa dan bilangan maksima keseluruhannya ialah 40 orang.

Ahli Lelaki yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Dato' Setia" dan Ahli Wanita yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Datin Paduka Setia" manakala isteri kepada Ahli Lelaki diberi gelaran "Datin Setia". Suami kepada Ahli Wanita tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran.

Kalung Darjah Kebesaran ini dibuat daripada logam perak yang bersadurkan emas 132 sm panjang dipakai sama labuhnya di bahagian hadapan dan belakang dan mengandungi 14 karangan yang bersambungan, dua (2) karangan di tengah yang mengandungi Bendera-bendera Negeri, diletak bersilang, diperbuat daripada logam yang bersalut enamel, di permukaannya terdapat 12 mata rantai yang mempunyai 2 bentuk, iaitu 6 daripadanya berbentuk bulat dan 6 lagi berbentuk segi sembilan. Enam (6) mata rantai bentuk bulat mengandungi tulisan khat "Sultan Idris Shah" manakala 6 mata rantai berbentuk segi sembilan mengandungi tulisan khat "Selangor Darul Ehsan". Mata-mata rantai ini disusun secara berselang-seli.

Bintang Kebesaran ini berbentuk bintang berpenjuru sembilan berukuran 9 sm garis pusat dan setiap penjuru bintang diperbuat daripada logam perak bersadur emas yang permukaannya berpotongan berlian. Manakala bahagian tengah Bintang mengandungi tulisan khat dan rumi "Sultan Idris Shah Selangor" berlatarbelakangkan enamel merah hati.

Lencana Darjah Kebesaran ini adalah sama seperti rekabentuk bintang tetapi ukurannya kecil sedikit iaitu 6 sm garis pusat. Bahagian tengah Lencana berbentuk bujur berukuran 2.07 sm lebar dan 3.05 sm tinggi serta mempunyai Lambang Diraja berlatarbelakangkan enamel merah hati dengan tulisan rumi "Sultan Idris Shah Selangor". Di bahagian atas Lencana terdapat bentuk Mahkota "D.Y.M.M. Sultan" berukuran 2.2 sm tinggi. Lencana ini direkabentuk supaya ianya boleh digantungkan daripada rantai kalun atau selepang.

Selepang Darjah Kebesaran ini diperbuat daripada kain sutera kuning selebar 11.7 sm dan mengandungi jalur merah berukuran 0.3 sm lebar di bahagian tepinya. Selepang ini dipakai di atas bahu kanan melintang ke bawah ke sebelah pinggang kiri. Bagi Ahli Wanita pula rekabentuknya adalah sama seperti Selepang Ahli Lelaki kecuali ukurannya adalah selebar 7.7 sm dan mengandungi jalur merah berukuran 0.2 sm lebar di setiap bahagian tepinya.