Senarai Penerima D.K.II.
Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan
DARJAH KERABAT SELANGOR KEDUA (D.K. II)

 

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II) ini merupakan Darjah Kebesaran dan pengurniaan yang kedua tertinggi di Negeri Selangor Darul Ehsan. Darjah Kebesaran ini telah dizahirkan pada tahun 1977. Ia mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang.

Kalung Darjahnya diperbuat daripada logam bersadurkan emas dan merupakan 14 karangan mata rantai. Lambang Negeri Selangor di atas bulan sabit tertera pada mata rantai di tengah-tengah. Mata rantai yang lain berbentuk bulat. Di permukaannya terukir keris bersilang, berselang-seli dengan mata rantai yang mengandungi perkataan Allah dalam huruf jawi.

Bintang Darjah berwarna keemasan. Di permukaannya terdapat gubahan daun kelapa yang timbul.

Lencana Darjahnya berwarna enamel keemasan dan gubahan daun kelapa yang timbul berwarna enamel merah.

Selepangnya diperbuat daripada kain sutera selebar 101.6mm. Ia mempunyai dua jalur merah di tengahnya dan dipakai di atas bahu sebelah kiri melintang ke bawah sebelah pinggang kanan.

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II) ini dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja di Malaysia. Ia juga dikurniakan sebagai tanda penghormatan kepada Putera-Putera Raja Negara Asing sebagai tanda penghormatan dan hubungan silaturrahim dengan Baginda Sultan. Penyandang-penyandang jawatan tinggi yang telah menyumbang jasa dan bakti yang cemerlang kepada Baginda Sultan atau Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan juga layak dipertimbangkan untuk menerima Kurniaan ini.