Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan
DARJAH KERABAT (D.K.) YANG AMAT DIHORMATI

Darjah Kelas Pertama


Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati ini merupakan Darjah Kebesaran yang tertinggi sekali di Negeri Selangor Darul Ehsan. Darjah Kebesaran ini telah dizahirkan pada tahun 1961.  Ia mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang.

Darjah ini dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja di Malaysia.  Di samping itu ia juga dianugerahkan kepada raja-raja negara lain sebagai tanda penghormatan dan persahabatan yang akrab dengan Baginda. Bilangan maksima keseluruhan keahlian Darjah ini ialah 25 orang.

Mengenai kalung :

Kalung Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati diperbuat daripada logam yang bersadurkan emas 101.6 sm panjang yang dipakai sama labuhnya di bahagian hadapan dan belakang, mengandungi 14 karangan mata rantai yang bersambungan. Dua mata rantai di tengah-tengah mempunyai ukiran lambang Negeri Selangor di atas bulan sabit. Mata rantai yang lain berbentuk bujur telur. Ukiran yang tertera di atasnya ialah gubahan daun kelapa melingkungi dua bilah keris bersilang, berselang-seli dengan gubahan daun kelapa melingkungi bulan sabit.

Bintang Darjahnya mempunyai lima pecahan. Ia diperbuat dari logam yang bersadurkan emas. Kulitnya dicanai dengan permata berbaris. Di tengah-tengahnya terdapat mahkota dan lambang Negeri Selangor Darul Ehsan yang beralaskan enamel merah nipis.

Ia dikelilingi oleh gubahan daun kelapa yang timbul. Lencana Darjahnya adalah merupakan bintang yang mempunyai lima pecahan. Ia berukuran 7.62 sm. Ia diperbuat dari logam yang bersadurkan emas. Mahkota dan lambang Negeri Selangor Darul Ehsan tertera di tengah-tengahnya. Lencana ini beralaskan enamel merah nipis berbayang serta dilingkungi gubahan daun kelapa yang timbul. Lencana ini terlekap di atas bintang yang mempunyai sepuluh pecahan bersadurkan perak.